25.11.09

duduk sahaja pun bahaya, lebih baik kita terjun dalam sungai yang penuh buaya

saya telah dua kali menyewa teksi untuk perjalanan stesen kereta api seremban ke taman panchor jaya.
kedua-dua nya pada waktu malam. lebih kurang pukul 9. jadi, timbul kerisauan tentang keselamatan naik teksi waktu malam. apatah lagi bahaya nya teksi ini akan melalui kawasan yang sunyi. kawasan belukar. rasa takut ini timbul kerana sering kali kita dipersembah kan dengan laporan akhbar yang memetik jenayah pemandu teksi. dari kes rompakan hinggalah kepada kes rogol dan bunuh serta letup kan dengan bom kalau perlu. mungkin juga pemandu teksi ini menyampaikan kuliah atau pun ceramah tanpa tauliah. mereka mungkin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), seperti mana yang telah berlaku kepada mantan Mufti negeri perlis, Dr. Asri Zainul Abidin. ini berlaku kepada saya dan dua rakan lain dalam perjalanan dari petaling ke mid valley.
sesungguhnya, pemandu teksi ditauliah kan sebagai seorang pemandu bersama dengan kemahiran keterampilan berbahasa dan berkomunikasi. ada saja isu yang dilontarkan kepada penumpang.
jadi, ketakutan yang timbul terhadap "naik teksi malam" berasas kerana wujud nya risiko untuk disamun lalu ditinggal kan seorang diri di tengah jalan. kemudian, tiada siapa yang ingin membantu kerana mangsa juga akan dicurigai oleh pengguna jalan raya yang lain. zaman sekarang memang ramai orang pandai berlagak baik tapi hati jahat macam syaitan.
maka, atas segala ketakutan itu lah akhir nya saya dinasihati supaya jangan lagi naik teksi waktu malam. rasional kah? patut kah kerana ada beberapa mangsa jenayah teksi ini saya pula dimangsa kan untuk tidak lagi naik teksi waktu malam?
hujah saya, di mana-mana dan ketika pun bahaya itu wujud. maka, kalau naik kereta jenazah pun kita sebenar nya boleh kena rompak dengan drebar van jenazah. kalau dah bahaya duduk sahaja lah dalam rumah. tak perlu ke mana-mana. sudah nya saya membayang kan bermacam-macam bahaya yang timbul dari aktiviti sepupu-sepapat saya.
husna main 'skipping'. akhir nya tercekik dengan tali 'skipping'.
rusyda makan kacang. akhir nya tercekik kacang.
aina duduk atas kerusi. akhir nya jatuh sebab kerusi patah.
maka, jangan berbuat apa-apa. duduk sahaja atas tikar sembahyang atas serambi rumah sebab makan pun takut tercekik, lebih baik mati atas sejadah. itu pun bahaya. lantai rumah saya daripada papan. dah dimakan anai-anai. nanti jatuh pula ke bawah rumah. bawah rumah orang negeri sembilan panggil 'kolong'.
sampai lah kepada satu kesimpulan, kalau duduk dalam rumah kemungkinan besar kapal terbang akan terbabas lalu melanggar rumah. maka, kita pun mati sebab takut keluar rumah. duduk dalam rumah pun ada bahaya nya juga. lebih baik naik teksi.
kita jangan menegah seseorang daripada naik teksi waktu malam hanya kerana ada beberapa kes orang dimangsa kan semasa menaiki teksi malam.
saya selesai membaca kitab fasl al-maqal wa taqrir ma baina al-syariah wa al hikmah min al ittisal oleh abu al walid muhammad bin ahmad bin rusyd. berkaitan hubungan syariah dan falsafah karangan ibnu rusyd.
kita tidak boleh menghalang seseorang untuk mendalami falsafah kerana ada nya orang yang tersalah tafsir dan tersesat setelah menekuni falsafah. ada perlambangan dalam tulisan itu menyebut kita tidak boleh menghalang seseorang daripada meminum air yang sejuk dan lazat hanya kerana ada orang yang tercekik oleh air itu. maka, jika tidak minum, orang itu menemui mati. tercekik kerana meminum air itu hanya lah kebetulan manakala mati kerana tidak langsung minum air itu pasti. jadi, mereka yang tersesat dalam memperhalusi falsafah merupakan kebetulan. mungkin kerana tiada nya bimbingan dan guru untuk menekuni sesuatu ilmu tetapi menjadi jahil kerana tidak mempelajari falsafah sebagai satu jalan menemui Yang Maha Esa ialah satu kepastian. alangkah rugi nya kita.
saya juga pernah terfikir tentang keinginan dan keterujaan. "curiosity". saya membuat satu kiasan mengapa wujud nya kes rogol dan skodeng anak dara tok penghulu.
saya membayang kan sebutir permata yang indah. berkilauan warna-warni pelangi. permata itu dibalut dengan kain. maka, akan timbul perasaan orang yang tidak pernah melihat nya untuk membuka balutan kain tersebut. tujuannya untuk melihat permata tersebut. maka, perasaan ingin tahu atau "curiosity" ini lah yang merangsang seseorang untuk membuka balutan tersebut lalu menampakkan kilauan permata itu.
saya berfikiran bahawa lebih baik jika ia tidak berbalut. dibiarkan sahaja begitu agar tidak timbul keinginan orang-orang untuk membuka balutan itu dan menyaksi kan kilauan cahaya nya. maka, masalah akan selesai.
saya kaitkan ini dengan perempuan yang diwajib kan untuk menutup badan dengan pakaian. bukan kah perkara ini akan meningkat kan keinginan lelaki untuk melihat apa yang ada di sebalik pakaian itu. pakaian yang membalut tubuh untuk melindungi tubuh badan itu sebenar nya meningkat kan lagi "curiosity" lelaki untuk melihat apa yang ada di sebaliknya. maka, lebih baik perempuan dibogel kan sahaja agar tidak timbul "curiosity" ini. maka, mereka dapat melihat nya sebagaimana mereka melihat permata yang dilihat tanpa balutan kain. masalah "curiosity" atau ingin tahu ini akan padam lalu tiadalah perempuan dijadi kan mangsa sang lelaki.
ini ialah kiasan atau analogi. sebenar nya analogi seperti saya lakukan boleh menimbul kan kekeliruan kepada orang lain dan juga kepada diri sendiri. terdapat kemungkinan untuk kita akhir nya membuat kesimpulan perempuan tidak perlu menutup aurat kerana daripada nya timbul keinginan lelaki untuk menjadi kan mereka mangsa nafsu yang buta. seolah-olah sesuatu yang diharap kan dapat menangani masalah sebenar nya punca utama kepada masalah tersebut.
ada kebarangkalian untuk kita berfikiran yang mana menutup aurat itu untuk mengurangkan keinginan sebalik nya meningkatkan pula keinginan.
jadi, ibnu rusyd mengehadkan metafora seperti ini hanya kepada orang yang mendalam ilmu nya tentang sesuatu bidang itu. iaitu golongan khawwas iaitu elit dalam ilmu. golongan al-awwam iaitu orang ramai tidak boleh dipersembahkan dengan pentakwilan atas dasar ilmu nya yang cetek. maka, cukup lah untuk mereka hanya faham ayat itu sekadar ayat itu sahaja tanpa perlu ditakwilkan kepada orang ramai.
perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara atau hukum jika tidak merosakkan inti atau persoalan pokok dibenarkan seperti perbezaan kehidupan selepas mati yakni akhirat asal kan kita tidak menolak persoalan pokok bahawa alam akhirat itu pasti.

8.11.09

penanggalan




petang semalam, setelah letih melayan "asignment" yang sengaja saya perap lama untuk mendapatkan kemabukannya, saya pun melepak di luar rumah bersama atuk dan uwan dengan kepala pening-pening lalat.

entah dari mana datangnya idea uwan saya untuk bercerita hal penanggal atau disebut juga penanggalan juga disebut polong. nama polong seakan-akan nama kawasan felda di negeri sembilan, palong. bila pak cik saya menyebut ingin ke palong menziarah rakannya, saya pun secara automatik terbayang kan penanggal.

terdapat dua versi cerita mistik penanggal yang dibongkar pada petang ahad itu. pertama, versi daripada the great great grandma saya. kedua, daripada kakak uwan saya, yang saya panggil wan tua kerana dialah yang paling tua dalam kesemua adik-beradiknya.

versi pertama. telah diriwayatkan oleh great great grandma saya kepada uwan saya. dahulu terdapat sepasang suami isteri yang mana isterinya bekerja sebagai penanggal. si suami tidak tahu akan kerja sambilan isterinya itu. sehinggalah pada suatu malam yang mengantoikan isterinya itu. pada malam itu, seperti kebiasaannya, si isteri akan menanggalkan kepalanya untuk bertindak dalam bidang kuasa seorang penanggal. seekor penanggal atau sepenanggal. tak pasti penjodoh bilangannya. jadi, macam biasalah. si suami akan memeluk dan membelai mesra si isteri. maka beralihlah badan si isterinya yang tidak berkepala. mujurlah si suami tiadak menyedari ketiadaan kepala isterinya itu akibat terlalu asyik dengan keindahan seni bina tubuh isterinya (ini tokok tambah). pada pagi itu, setelah hampir-hampir waktu subuh, kepala isterinya pun kembali semula ke rumah setelah keluar kerja syif pagi sebagai penanggalan. alangkah terkejut beruknya si suami apabila melihat isterinya pagi itu. kepala isterinya terbalik ke belakang gara-gara badannya yang beralih arah pada sebelah malamnya. maka terbongkarlah rahsia si isteri yang suka keluar malam untuk pergi "clubbing". jadi, untuk menyelesaikan masalah berat itu. mereka berdua telah berijtihad dan mencapai kata sepakat untuk menunggu sehingga malam hari. nak dipendekkan cerita mengarut ni, hari pun malam. maka si isteri sekali lagi menanggalkan kepalanya. si suami pun mengalihkan badan isterinya seperti sediakala. hampir sahaja pada waktu subuh, kepala si isteri pun melayang-layang pulang ke rumah dan bersambung kembali dengan badannya. kali ini, barulah betul sambungan yang dibuat. jadi manusia yang sempurna. kepala nya sudah tidak songsang lagi. si suami pun berkata,

"jangan nak jadi penanggal lagi, nanti terbalik lagi kepala tu"

alangkah sporting nya suami terhadap si isteri yang bekerja sebagai penanggal.

versi kedua. diceritakan oleh kakak uwan saya. lagi mengarut. diceritakan bahawa penanggal ini membawa sekali organ-organ penghadamannya ketika mencari mangsa. maka nampaklah segala usus kecil, usus besar, pankreas, apendiks dan segala macam organ dalam perut yang berjurai-jurai, berdarah-darah. ada sejenis terung yang pohonnya berduri. disebabkan waktu malam gelap, tali perut penanggal ini pun tersangkut pada duri pokok tersebut lalu terjerat di situ. akhir nya hari pun siang, penanggal itu cemas dan gelabah kerana masih tercangkuk pada duri tersebut. maka, datang lah ayam mencari makanan. ayam tersebut pun mencatuk dan mengais tali perut penanggalan itu. yang lawaknya penanggal itu boleh pula menghalau ayam tersebut supaya tidak menyakitinya,


"syuhhh!!! syuhhhh!!!"


penanggal itu menghalau ayam tersebut dengan bersungguh-sungguh. akhirnya, penanggal itu pun diselamatkan oleh tuan nya lalu terbang ke langit.


uwan saya sendiri tak percaya dengan cerita karut-marut ini. saya sebenarnya tergeletek dengan cerita penanggal menghalau ayam ini tapi tiada teman untuk ketawa. saya hanya tersenyum.

5.11.09

kuala pilah 2





hari ini, saya ingin mempersembahkan lagi perihal kuala pilah, tanah adat, tempat kelahiran saya, juga shamsiah fakeh yang selalu disebut-sebut nama nya oleh atuk dan uwan saya.




gambar merakamkan seribu makna dan kenangan. di kuala pilah, jika ingin kan khidmat profesional jurufoto, orang-orang tua akan menyebut nama "bee chun". jika kita meneliti seluruh gambar hitam putih nenek-nenek dan datuk-datuk di kuala pilah, maka di studio new bee chun lah tempat mereka bergambar kenangan. kedai nya terletak di hujung jalan yam tuan Raden, bersebelahan jejantas, satu-satunya jejantas di tengah pekan kuala pilah. barangkali satu-satu nya juga jejantas yang terdapat di seluruh daerah kuala pilah.





kedai syarikat a.h yusuf dimiliki oleh india muslim. anaknya, iras-iras bintang filem hindustan. di sinilah segala pilihan fabrik dan busana indah, paling indah dan berpatutan boleh didapati di kuala pilah. tak kira lah untuk majlis perkahwinan atau untuk persediaan menyambut hari lebaran, kedai ini akan diserbu kerana keramahan tauke nya atau boleh juga dikatakan kedai ini sebagai sudah berada di tahap "well-known" oleh warga kuala pilah. selalu nya, mak cik-mak cik yang mulut nya tak berhenti-henti berpidato dan berunding harga paling murah boleh dicapai akan melekat kaki nya ke lanatai kedai tersebut. macam ada gam, sehinggalah harga barang yang dikehendaki sampai kepada satu tahap yang mana tuan punya kedai dapat untung seringgit dua sahaja.





abu becker sitihiq. saya tak tahu mengapa begitu eksotik nama abu bakar sidiq dieja. abu becker ialah tauke cendol terkenal di kuala pilah. bukan sekadar menjaja cendol nya di hentian bas kuala pilah, malah semangat niaga nya berterusan di pekan ahad dan mana-mana kenduri-kendara sekitar daerah kuala pilah terutamanya pada musim cuti sekolah. cendol pilah. menghirup nya di kala matahari sedang terpacak di atas kepala memang menyegarkan, rasa nya seperti berada di pergunungan alps.





klinik bakti. sebuah klinik yang juga terletak di susur jalan yam tuan Raden. segala sakit demam orang kuala pilah akan dirujuk ke klinik ini. mungkin kerana betapa mujarab nya ubat demam nya yang berwarna merah jambu itu. ubat itu juga lah yang membuat kan saya termuntah. ayat popular doktor kamal ialah "insyaAllah, insyaAllah, nanti baik". dia seorang mualaf cina. kereta nya kereta volvo warna kelabu. kalau saya lalu di hadapan klinik nya. alangkah sayu nya hati melihat warga tua yang menunggu giliran untuk diperiksa kesihatan dan diberikan ubat-ubatan. kewujudan klinik baiduri di bangunan baharu hadapan masjid jamek yam tuan raden sedikit sebanyak mengurangkan jumlah pengikut, "follower" klinik bakti. tapi ini persaingan sihat untuk perkhidmatan terbaik.





restoran paling nikmat dan lazat dunia ialah Villa Tom Yam yang terletak berhadapan kampus UiTM lama. restoran ini semasa saya kecil digelar sebagai "berjanggut" dek kerana lambat nya tukang masak siam tersebut menyediakan tempahan para pelanggan. kalau dah sedap dan memuaskan nafsu masing-masing siapa yang tak sanggup menunggu kan? antara yang menarik di villa tom yam, selain lauk sayur kailan ikan masin nya ialah pemilik restoran tersebut. pemilik nya ada iras-iras encik raisuddin, bapa kepada penyanyi kecil molek sarah raisuddin. maka bertambah lah sensasi tom yam restoran tersebut tatkala melihat encik raisuddin tiruan terlenggok-lenggok punggung nya melayan para pelanggan yang kebuluran.



akhir nya, sampai lah kita ke kampung saya sendiri. kedai runcit paling popular ialah kedai ah kong. kedai runcit ini ialah tesco atau pun carrefour bagi penduduk sekitar tanjung ipoh, kuala pilah. segala keperluan masak-memasak dibeli di sini. selain ah kong, adik beradik nya bernama ah ngan. mereka sama-sama menjalan kan perniagaan sejak puluhan tahun dahulu. kedai runcit nya itu ialah warisan daripada ayahandanya. begitulah empayar perniagaan mereka. masyhur ke seluruh pelusuk tanjung ipoh dalam radius 7 kilometer.



jadi, mereka yang saya ceritakan di atas ini ialah kapitalis-kapitalis dalam ekonomi laissez-faire di kuala pilah.



sekian.

4.11.09

kuala pilah 1



saya dilahir kan di hospital kuala pilah.

kuala pilah ialah daerah terkering di malaysia. walaupun terkering ianya masih lembap. tidak bermaksud daerah ini kontang bak gurun gobi mahupun sahara. orang kuala pilah sendiri, warga emas, veteran-veteran tidak menyedari bahawa daerah yang mengandung kan mereka ialah daerah paling kurang taburan hujan nya di negara ini. sama ada mereka kurang membaca di sekolah melayu dahulu atau pun mereka ponteng kelas geografi untuk menghisap rokok barang sebatang dua di tandas sekolah sambil menelaah imej-imej porno pada dinding tandas.

gambar-gambar porno pada dinding tandas di kuala pilah langsung tak mengghairahkan. rupa nya seakan-akan mangsa perang yang dilanyak kereta kebal.

kuala pilah ialah daerah yang masih kekal ciri kedesaan nya. saya mengambil kewujudan haiwan peliharaan yang berkeliaran sana-sini sebagai justifikasi bahawa kuala pilah masih kekal ciri kedesaan nya. lembu, kambing, ayam dan kucing ialah fauna yang merayap dia atas muka bumi kuala pilah. jika diteliti, sepanjang perjalanan susur utama kuala pilah - seremban, akan terlihat banyak fosil-fosil haiwan melekat di atas jalan raya, selalunya akibat digilis lori NS Cement yang meluncur laju ke pekan Bahau. betapa tak terkawal nya binatang-bintang ternakan, al-an'am ini. corong radio NS pernah menggelombang kan peringatan berbunyi,

"ingatan kepada penduduk-penduduk kawasan tanjung ipoh di kuala pilah, anda dinasihat kan supaya mengawal haiwan peliharaan anda daripada berkeliaran mengganggu lalu lintas"

fenomena lembu bersiar-siar di jalan raya ini semakin parah menjelang musim perayaan, mereka dengan muka bersahaja melintas sesuka hati lalu mengakibatkan pengguna jalan raya terangguk-angguk membrek kenderaan masing-masing.

pekan bagi daerah kuala pilah kecil sahaja. walaupun kecil kami masih berbangga lantaran adanya restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken. demi menggambarkan betapa kecil nya kawasan pekan daerah ini, terdapat dua penilaian oleh masyarakat setempat.

"alah, pilah bosar kotak mancih jo", yang pertama.
kedua, "pilah godang hujung kotak mancih"

begitulah betapa kerdil nya sebuah tempat bernama Kuala pilah. ia hanya diberi taraf sebesar kotak mancis sahaja

3.11.09

dah sunat ke belum? belum duduk belakang




tahun 1990, 1991, 1992, 1993, 1994, 1995, 1996, 1997, 1998, 1999, 2000, 2001 dan 2002. saya selalu sahaja dibawa, minta dibawa, dipaksa sehingga terbawa-bawa tapi tak pernah terbawa ke kenduri-kendara. tak kira apa kenduri sekali pun, kenduri tunang, kenduri kahwin, kenduri menempah, kenduri akikah, kenduri arwah, kenduri maulidur rasul, kenduri lenggang perut, kenduri kerjan, kenduri doa selamat, kenduri kesyukuran, kenduri nak pergi umrah, kenduri nak pergi naik haji, kenduri balik haji, kenduri korban, kenduri surau, kenduri masjid, kenduri berkadim, kenduri nak menyembah dan macam-macam lagi jenis kenduri.



apa yang saya ingat, sepanjang zaman kanak-kanak saya, saya diwarnai kenduri-kendara. salah satu sebab nya, atuk saya dijemput kadang-kadang dipaksakan juga untuk membacakan doa dan mengetuai jemaah yang hadir untuk meratib di atas tikar mengkuang. kemudian menjamah nasi berlaukkan kari kepala kambing yang dililitkan tali perut. dihidang kan ia di dalam pinggan dan dulang bertutup tudung saji. maka, terpaksa lah saya ikut serta makan otak kambing yang rasanya lemak dan kadang-kadang rasa nya sangat kambing, tali perut nya pula kenyal.



ketika sedang makan, sudah lah tentu ada beberapa jemaah lain yang turut serta. selalunya satu jamba (dulang) makanan yang terhidang cukup untuk empat orang dewasa. disebabkan saya makan bersama atuk saya, tiga orang dewasa yang lain tentu lah berpangkat atuk juga, sudah berusia, uban sudah memutih di kepala, makan pun agak perlahan kerana gigi sudah kurang di sana-sini. selalunya ada beberapa soalan yang akan ditanya,



"sekolah darjah berapa?" "dah besar nak jadi apa?" "dah sunat ke belum? bak sini atuk tengok!!"



gay ke apa orang tua ni. suka hati aku lah nak sunat bila. selalunya kalau ditanya soalan apa cita-cita, saya akan menjawab arkitek sebagai jawapan, kalau tak pun doktor, mungkin kerana saya telah dihegemoni orang-orang tua sekeliling saya tentang betapa seronok nya pekerjaan itu lantaran lumayan nya gaji yang diperoleh. tambahannya, saya dipengaruhi salah seorang anak buah uwan saya yang bekerja sebagai arkitek dan isteri nya pula seorang doktor perubatan. cita-cita melangit itu telah jauh terbang melayang dari pandangan. mungkin kerana saya semasa zaman sekolah rendah terlalu obses membaca buku-buku nukilan Ghulam Jie M.Khan.



hasil daripada terlalu kerap menjadi tuit-tuit atuk dan uwan saya ke kenduri, saya kenal ramai veteran-veteran di kampung saya. hari ini ramai antara mereka telah pergi menemui Ilahi. ada antara mereka pernah memberi macam-macam nasihat yang ayat nya lain tapi inti nya sama sudah pun saya hadiri upacara pengkebumian mereka. antara nasihat mereka,



"belajar betul-betul", "belajar rajin-rajin" "kalau nak kerja buat jalan boleh tapi jangan jadi kuli, jadi lah mandur, kerja buat jalan juga, tinggal lagi awak tu jadi ketua" "belajar, esok masuk universiti"



dengan kematangan yang saya yang macam lemang separuh masak tu, saya pun mengarut, "takkan lah hari ni belajar, esok dah masuk universiti (merujuk kepada esok hari juga akan masuk ke universiti)". entah apa entah.



selalu nya, yang hadir akan diberi sedekah wang selalunya berjumlah RM 1 atau RM 2. pada suatu ketika, duit kertas RM 1 tiada dalam aliran mata wang, yang ada hanya wang kertas RM 2 sahaja. maka, beruntunglah saya kerana tuan rumah terpaksa memberi RM 2. saya tahu benar mereka terpaksa kerana selepas wang kertas RM 1 kembali berada dalam pasaran, tuan-tuan rumah ini kembali beralih arah, memberi wang seringgit kembali.



sejak saya masuk ke asrama, budaya pergi kenduri yang ada dalam diri mula terhakis. sehinggalah semasa cuti belajar seminggu tempoh hari.



saya ke kenduri kahwin. beza paling ketara yang dapat saya lihat ialah semasa saya menjamu selera, nasi minyak dan ayam rempah, saya tidak dihulurkan bunga telur tapi coklat Toblerone dililit reben merah.



adakah kita sedang dikolonialisasi atau pun kita sedang berglobalisasi? ataupun juga diglokalisasi?



untuk itu, bersempena cuti panjang yang hampir tiba, saya berazam untuk kembali menjadi tuit-tuit atuk dan uwan saya ke kenduri-kendara. sengaja ingin menjual, me"market"kan muka kepada orang kampung.

1.11.09

masih kah anda ingat kepada mona fandey atau kenal kah anda kepada nya?




saya sengaja mencatat ini kerana bosan, rasa serba tak kena, tekanan belajar untuk "exam", sengaja menggatal nak mencatat sesuatu ketika fikiran sedang kacau.



isyarat jaringan internet tanpa wayar agak lembap macam siput babi yang perlahan-lahan mengengsot dalam longkang. bukan sekali, tapi banyak kali, tak lah banyak sangat, boleh lagi dikira, saya menzalimi siput babi. mungkin kerana namanya babi, maka saya pun tergamak untuk membunuh siput babi ini dengan batu-bata. atuk saya sering membaik pulih rumah semasa zaman 90-an, maka ada lah dalam 20 ketul batu-bata di rumah saya. selalunya batu-bata ini digunakan sebagai lapik pasu bunga, bunga kertas kepunyaan Mak lang saya. dengan batu-bata ini lah saya menyampaikan siput babi ini kembali kepada Pencipta nya.



apa kah signifikan nya haiwan kecil bersesungut ini dinamakan siput? mungkin kerana cengkerang nya. baik lah, saya setuju. tapi, mengapakah babi pula dihujung nya? untuk itu ingin saya bereksperimentasi dengan hukum DM (diterangkan dan menerang kan). siput ialah siput. maka babi lah yang menerangkan. siput yang babi. mungkin tapi tak pasti.



siput babi berlendir-lendir, tekstur kulitnya kesat mungkin. lendir ini bertindak sebagai pelincir. memudahkan pergerakan. agak nya orang dulu-dulu berkaki ayam, pergi sekolah tak pakai selipar, kasut jauh sekali. jalan pula semak-samun kiri dan kanan, kalau nak mandi kena mandi di perigi, yang hairan nya lokasi perigi itu mesti di satu tempat yang seram, berdekatan pohon enau.



mungkin mereka kerap benar terpijak siput ini, lalu kaki dilekati lendir. maka mencarut lah mereka, "babi punya siput".



"kau pijak siput apa tadi?" "siput apa lagi, siput yang babi tu lah" "oh, lain kali jalan tunduk pandang bawah"



setelah siput babi itu saya timpa kan dengan batu-bata, dia pun alah lah. tak cukup lagi penyeksaan itu, saya mengguna kan lagi kekerasan terhadap nya. menggunakan batu-batu kecil, saya tenyeh-tenyeh siput babi yang telah tinggal nyawa-nyawa ikan itu.



tiba-tiba, timbul pula rasa kesian terhadap makhluk siput babi ini. tangan saya terkena sedikit lendir siput babi ini. lendir nya seolah-olah cecair hasilan tumbuhan lidah buaya. saya mula terfikir, bermonolog dalam hati nan gundah.



"alamak, dah kena lah pulak, ni nak kena samak pulak ke ni?"



untuk menjawab persoalan berat yang bergumpal di benak saya itu, saya pun secara ilmiah bertanya kepada atuk saya yang sedang asyik membaca akhbar Utusan Malaysia.



"tuk!! siput babi haram tak?" "tak haram, nama saja siput babi"



betapa lega nya hati ini, tak perlu bersamak setelah membunuh siput babi yang tak bersalah. saya betul-betul menyesal kerana telah membunuh siput babi.



sepanjang zaman pasca mumaiyiz, saya sering membunuh bermacam-macam haiwan lain seperti ikan sembilang yang dipelihara dalam balang plastik berisi air yang mengandungi kandungan klorin yang tinggi, peristiwa pembunuhan cicak berdarah yang meninggalkan kesan parut pada ibu jari tangan kiri saya, pembunuhan kejam terhadap katak yang menghuni kasut ala-ala kasut joget kepunyaan atuk saya, dia telah ditanam hidup-hidup, ketika masih bernyawa, saya lakukannya bersama sepupu saya, kejadian itu umpama pembunuhan kejam oleh Mona Fendi dan pembantu nya Juraimi.



selain itu, saya telah melakukan berbagai-bagai kehinaan terhadap manusia lain, pernah sekali, malah berkali-kali, saya masukkan batu, pasir, daun dan entah apa lagi dalam tangki minyak motosikal orang-orang kampung sebelah yang diparkir belakang rumah saya. tambahan pula, seekor kambing yang khusyuk menikmati daun pokok hiasan telah saya simbah dengan air gara-gara perasaan geram terhadap pak cik saya yang berlagak sangat dengan kambing nya itu.



sebenar nya, banyak lagi perlakuan yang tidak berintegriti telah saya lakukan untuk mendapat kepuasan. maklumlah, umur ketika itu umur kanak-kanak ingin mencuba. saya percaya, kalau pun pihak-pihak yang teraniaya ingin mendakwa saya di Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Pilah, kes ini tak kan diterima oleh mahkamah kerana "limitation period" nya telah berlalu bertahun-tahun lalu. selain itu, saya yakin saya mampu mempertahan kan diri dengan kecualian-kecualian am yang termaktub dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu "infancy".



mungkin kerana dosa-dosa ini lah saya rasa serba tak kena. bukan lah tujuan catatan ini untuk membuka pekung di dada, tetapi sekadar kesedaran yang dilahirkan dalam bentuk tulisan. semoga kita beroleh iktibar daripadanya.



sayangilah siput babi dan babi kerana ia membantu ke arah keseimbangan ekosistem. jangan hanya terjerat dengan perangkap aplikasi Farmville dalam laman jaringan sosial Facebook.

30.10.09

"demokrasi telah menjadi perkataan paling kacau dalam arena hal ehwal awam, ia telah menjadi gundik kepada semua orang", Bernard Crick

saya teringat pada satu petang Isnin semasa di sekolah dahulu. kami, pelajar-pelajar berkumpul di tapak perhimpunan sekolah. agenda petang itu ialah perjumpaan kokurikulum dengan matlamat pemilihan AJK tertinggi kelab permainan. saya mengambil keputusan menyertai kelab petanque, sejenis permainan berasal dari negara Perancis, permainan paling mencabar minda dan ketajaman fikiran. hebat dan gah sungguh kelab petanque. disegani seluruh warga alma mater tercinta tetapi dicemuh pula oleh pengetua.

gelanggang bola keranjang menjadi medan perhimpunan. di hadapannya terdapat pentas seolah-olah rostrum tempat guru-guru dan pelajar menghamburkan kata-kata. kami pelajar biasa berada di bawah akan mengutuk-ngutuk setiap patah perkataan sesiapa sahaja yang bercakap.

pada tahun 2004 itu, tahun pertama pihak sekolah melaksanakan penilaian kokurikulum melalui jawatan-jawatan yang disandang di peringkat rumah, persatuan, kelab mahu pun kelas. oleh itu, pihak sekolah mahukan pelajar-pelajar memilih calon yang benar-benar layak dan ada karisma untuk memegang jawatan. yang membuatkan saya begitu teringat kan peristiwa petang itu ialah ucapan berapi-api guru penolong kanan kokurkulum, Encik Zokronain. dia memakai baju t putih berkolar dan seluar sukan warna biru tak silap saya. ucapan retorik nya pada petang itu berbunyi,

"apabila memilih pemimpin, pilih lah pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab, kita!!! tidak mahu menipu rakkkyat!!!".

maka, berguguran lah dedaun pohon tepi tapak perhimpunan itu, dek betapa ribut nya kata-kata Encik Zokronain, menggegar rasa setiap hati yang menyaksikan peristiwa itu.


ingatan saya menerjah lebih jauh kepada tarikh 8 januari 2003, hari yang mengubah sejarah hidup saya. semasa itu, saya berada di dalam dewan besar sekolah, yang namanya besar tetapi kebenarannya paradoks. pada hari pendaftaran pelajar tingkatan satu itu, semua yang lain berpakaian baju seluar serba putih, ada juga yang siap bersongkok. namun, tidak bagi saya, hanya berseluar jeans dan baju t tanpa kolar warna biru gelap. dengan pakaian itu lah saya mendaftar sebagai warga sekolah melayu ipoh, di samping muka yang skema. pada hari tersebut, pengetua sekolah telah berucap dengan nada yang lebih kurang sama makna nya dengan Encik Zokronain. ucapannya berbunyi,

"kamu bayar seringgit duit makan itu duit mak bapak kamu, lagi tiga ringgit yang kamu makan duit rakyat, kalau dah makan duit rakyat, kena lah berjasa pada rakyat"

isunya ialah rakyat. rakyat merupakan satu kuasa paling unggul dalam sesebuah negara yang mencanang dirinya sebagai pengamal demokrasi yang sangat demokratik dalam segala hal ehwal yang melibatkan kepentingan awam. umumnya terdapat empat ciri demokrasi iaitu:

  1. segala keputusan kembali kepada kuasa rakyat untuk menentukannya
  2. satu individu, satu undi atau "one man, one vote"
  3. segala keputusan kerajaan mestilah mengambil kira kepentingan ramai
  4. keputusan terletak pada majoriti

selain itu, demokrasi juga menjunjung tinggi konsep kebebasan. tidak kiralah apa pun kebebasan yang ingin diertikan melalui apa cara sekalipun. bebas tapi jangan sampai terbabas.

jadi, di bawah telapak kaki rakyat lah terletaknya syurga abadi bagi demokrasi.