22 September 2009

hari raya aidilfitri 1430 hijrah

Hari ini hari raya keempat. bermakna sudah 3 hari hari raya. saya pun rasa nak memerihalkan apa yang terjadi sepanjang tiga hari raya dan kisah disebalik nya.

29 ramadhan 1430H

macam biasalah saya bangun lambat. pagi 29 ramadhan saya sahur segelas milo panas sahaja. kalau saya bangun, mesti atuk, uwan pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik saya serta sepupu-sepapat tengah tergelak-gelak macam lah sahur tu lawak sangat. kalau saya, saya memang tak ada "mood" untuk berbual-bual apatah lagi untuk bersosial secara melampau di pagi hari sampai berdekah-dekah ketawa. satu lagi melodi sahur terakhir bulan ramadhan ialah bunyi penjana kuasa elektrik dari simpang jalan yang mana ada orang berjual daging untuk masakan hari raya. selalunya daging-daging ini akan direndang dan dimakan bersama lemang. lemang juga boleh dimakan abad-abad (dialek negeri sembilan yang bermaksud macam makan roti gardenia sahaja, tanpa apa-apa penyedap rasa, jadi, lemang pun sungguh enak dimakan begitu sahaja). hari ini, proses membakar lemang agak lambat berbanding tahun sebelumnya gara-gara uwan dan atuk saya pergi menziarahi anak buah mereka yang baru sahaja meninggal dunia kerana "heart attack". hari itu panas nya suam-suam kuku. di ampaian ada lima helai baju saya yang disidai setelah dicuci dengan mesin basuh. paling merisaukan saya kalau-kalau baju tu habis semua nya berbau asap lemang. rendang daging masak pakai dapur gas. ada sesuatu yang membuat saya rasa pelik. kenapa tak ada ayam? oh, barulah saya tahu. rupa-rupanya pihak yang bertanggungjawab untuk menghantar ayam-ayam telah gagal menjalankan tugas mereka. saya selaku plaintif terasa sangat terkesan dengan perbuatan defenden. telah berlaku "breach of duty" di pihak defendan. tiba-tiba semangat keasasian saya naik mendadak bagaikan "roller coaster" di pusat beli-belah Times Square. maka semasa berbuka puasa maghrib itu, saya telah tidak dapat makan rendang ayam dan lemang panas uwan saya melainkan ditukar dengan menu burger ayam special berharga RM 2.70 dan bergelas-gelas Coca cola, air rasmi kapitalis. dah lah budak perempuan yang pulang kan duit baki burger hampir-hampir tersilap pulangkan duit terlebih 20 sen, dia siap tergedik-gedik pula. nasib baik dia tu kira cun lah juga. muka ala-ala pelakon kanak-kanak dalam cerita seram, Congkak. dan pada malam itu pun saya dan keluarga dengan dikepalai atuk saya bertakbir di serambi rumah. malam itu juga, saya tidak dapat menggosok baju dan samping sampai berpeluh-peluh seperti malam raya tahun-tahun sebelum nya kerana sepupu perempuan saya menggosok sealmari baju raya. punya lah berlambak baju-baju yang nak digosok sampaikan serambi rumah dah jadi macam pusat pengumpulan baju terpakai untuk dihantar ke Afghanistan sebagai bantuan pakaian kepada mangsa perang.

1 syawal 1430H

bangun lambat lagi. saya terus mandi dan solat subuh. baju melayu saya tahun ini warna hijau. bukan baju melayu tahun ni pun, entah raya tahun bila punya baju. samping sahaja yang baharu. saya beli dengan harga RM150 di Jalan Masjid India sekali dengan butang baju melayu yang berkilauan bak mutiara dalam novel The Pearl yang kita belajar masa tingkatan 5. semasa saya membutangkan baju melayu saya, butang penuh walaupun hakikat nya saya bukan lah lelaki berbulu dada, saya seakan-akan terdengar "the music of the pearl that might be". saya kurang teruja pagi raya tersebut kerana takbir raya alunan Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi disiarkan di kaca televisyen. maka pagi raya itu pun seperti biasa saya akan cuba mengelak daripada bersalaman dengan keluarga yang bukan mahram kerana saya malas untuk berulang kali mengambil wuduk untuk solat sunat aidilfitri. tetamu pertama kami pada tahun ini ialah Pak Ngah saya, nama nya Isa Bin Hassan. dahulu dia bekerja sebagai pemandu lori minyak sawit Felda warna jingga. pakaian seragamnya warna biru gelap, macam warna baju polis. rupanya dia ni bersikap cauvinis juga. berapi-api dia berkempen untuk parti melayu. isu yang hangat diperdebat seorang diri ialah ketuanan Melayu. dia berkobar-kobar berhujah tentang kedudukan melayu yang semakin tercabar dek kaum-kaum lain yang mempersoal keistimewaan orang melayu. pak cik saya yang pro kepada pakatan rakyat pun terpaksa bersifat perkauman sempena hari raya ini. begitu juga uwan saya, punya lah rasa sangat terancam oleh situasi yang dihangat-hangat kan oleh Pak Ngah saya. mereka seolah-olah lupa bahawa selama ini mereka boleh kata tiap-tiap hari bertandang ke kedai Ah Kong yang berbangsa Tionghua. pak ngah saya juga bersuara agar askar Melayu yang sedia ada dipertahankan agar tidak lenyap di arus zaman. nampak nya perjalanan ke arah 1Malaysia masih lagi jauh...

2 syawal 1430

hari ni macam biasa saya bangun lambat juga. sebenarnya dah bangun, tapi disebabkan bantal kekabu saya terlalu empuk untuk kepala, saya terus tertidur dan bermimpi yang enak-enak. hidung saya tiba-tiba disekat-sekat dengan bau asap dari luar rumah, rupa-rupanya uwan saya sedang dalam proses menjayakan masak lemak cili api. dua ekor ayam kampung disembelih atuk saya, bulu nya dibuang. kalau nak lagi mudah dan cepat, rendam dahulu dalam air panas dan sememangnya itulah yang patut dilakukan. saya terlalu bosan pada hari raya kedua. demi mengelakkan kebosanan, saya sanggup jalan raya berbanding duduk melangut di rumah sambil membaca buku Introducing Rousseau yang dah hampir sebulan saya baca dan baca tapi tak selesai juga. maka saya pun mengekori pak lang dan mak lang saya serta kroni nya ke rumah pak ngah mereka. ada dua rumah pak ngah yang saya ziarah, seorang namanya Khalid seorang lagi Isa, pak ngah yang semangat perkauman tebal tu. semasa di rumah pak ngah perkauman, saya dihidangkan dengan sejenis makanan. ada nasi himpit, ada kuah lemak warna kuning dalamnya ada tempe, daging ayam dan entah apa lagi yang dibuat campur nya, ada sambal dan ada kuah kacang. rupa-rupanya namanya lontong. saya dapat maklumat, orang paling handal buat lontong datang dari johor. jadi, lontong ni rasanya macam nak kahwin dengan orang johor. sedap juga rasa nya kahwin dengan orang johor ni, rasanya lemak-lemak dan pedas-pedas sikit sebab letak sambal. semasa saya sedang melahap lontong yang rasa nya macam kahwin dengan orang johor, pak ngah saya yang cauvinis sedang terbaring atas katil nya ditiup angin kipas duduk. kata nya, kalau bangun kepala jadi pening, tak terdaya untuk merayakan hari raya kedua. petang raya kedua, selepas solat asar, saya dan sepupu saya ronda-ronda keliling kampung dengan menaiki skuter merah atuk nya. Tok long saya. sepanjang perjalanan, tahi lembu bersepah-sepah atas jalan raya. ada tahi lembu yang masih sempurna sifat nya, ada yang digelek tayar kereta di bahagian tengah nya, tak ketinggalan juga ada yang sudah bersatu dengan jalan. sempat juga lah saya merakam kan beberapa gambar. akhir nya, pada malam tersebut saya pun membakar mercun papan di hadapan pintu pagar rumah saya. bosan.

1 retorik berapi-api:

legallyemosenorita berkata...

haha.spupu ko gosok bju "sealmari"?haha.biasa ah tu.ckp pompuan.hiperbola ah ko.gahaha.

aku ske part yg ko ckp bju raya ko kaler ijau. =)