1.0 PENGENALANIsu yang dimainkan dalam persekitaran politik masyarakat berubah dari semasa ke semasa. Masyarakat sebenarnya meniti beberapa tingkat kematangan persoalan yang ditimbulkan dalam isu-isu politik. Persoalan-persoalan yang timbul sebenarnya berubah mengikut peredaran zaman, contohnya di Malaysia, bermula daripada persoalan-persoalan utama nasional seperti daripada kemerdekaan kepada kemiskinan kemudiannya perpaduan sekarang pula di tahap persoalan-persolan untuk memperjuangkan demokrasi dan keadilan. Kemunculan gerakan yang memperjuangkan persoalan mengenai kepentingan alam sekitar dan perkaitannya dengan demokrasi pula merupakan satu pendekatan yang baharu. Ia boleh dikatakan baru sahaja timbul dalam masyarakat dan masih lagi belum meresapi seluruh pelusuk tubuh politik negara-negara di dunia ini. Demokrasi yang subur dan matang di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, China dan Jepun telah memakmurkan ekonominya lalu mempertingkatkan kehendak kepada pasaran. Sistem ekonomi pasaran bebas ini telah menyebabkan pelabur-pelabur dan pemodal-pemodal mengaut hasil keuntungan daripada sumber alam sehingga terlepas pandang akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia. Masalah ini dapat diselesaikan secara berkesan melalui peluang-peluang yang terdapat dalam sistem demokrasi. Oleh itu, wujudlah keperluan sistem demokrasi yang saling bergantungan dengan pendekatan environmentalisme atau juga dikenali sebagai gerakan politik hijau. Environmentalisme dilihat sebagai satu pendekatan yang berkehendakkan kepada sistem demokrasi kerana ia merupakan satu alat yang mampu menjadi wadah perjuangan gerakan environmentalisme dan dalam pada masa yang sama, demokrasi juga sebenarnya menjadi salah satu penyumbang ke arah pencemaran terhadap alam sekitar dan pengancam kepada kehidupan seluruh umat manusia.
2.0 PENGERTIAN DEMOKRASI DALAM PENDEKATAN ENVIRONMENTALISME.
2.1 Aspek Etimologi
Secara asasnya, demokrasi boleh ditakrif melalui aspek etimologi. Perkataan demokrasi ialah gabungan dua perkataan Greek atau Latin iaitu “demos” dan “kratos” atau “demo” dan “kratia” yang bermakna rakyat dan kuasa. Ia merupakan kuasa rakyat iaitu suatu sistem kerajaan yang meletakkan rakyat sebagai penentu segala keputusan politik. Oleh itu, dalam pendekatan environmentalisme, demokrasi dilihat dan dijadikan alat oleh pertubuhan-pertubuhan politik, gerakan-gerakan dan orang perseorangan yang datangnya daripada golongan rakyat untuk mengutarakan idea-idea environmentalisme seterusnya membentuk usaha menyedarkan masyarakat serta memberi tekanan kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang, dasar awam dan polisi yang menjadi pembela kepada nasib alam sekitar.
2.2 Kata-kata Tokoh (Abraham Lincoln)
Persekitaran alam yang harmoni dan baik menjamin kesejahteraan manusia, hal ini telah membawa kepada persoalan sama ada rakyat mendapat apa yang sepatutnya mereka nikmati iaitu kualiti alam yang baik seperti udara yang segar dan air yang berkualiti. Dalam pengertian demokrasi oleh Abraham Lincoln yang berbunyi ‘of the people, by the people, for the people”, jelaslah bahawa kerajaan yang dibentuk melalui pemilihan oleh rakyat haruslah kembali semula kepada pembelaan terhadap nasib rakyat. Contohnya dalam hal untuk mendapat tempat tinggal yang selesa dan tidak tercemar.
2.3 Demokrasi dan Proses Pilihan raya
Selain itu, demokrasi juga difahami dan dilihat secara umum oleh awam sebagai satu sistem yang berkehendakkan kepada adanya proses pilihan raya untuk pemilihan pemimpin dan pembentukan kerajaan. Oleh itu, proses pilihan raya inilah yang akan digunakan sebagai salah satu cara untuk memperjuangkan pendekatan environmentalisme kerana akan wujudnya wakil untuk berpartisipasi secara langsung dalam kerajaan terutamanya untuk proses penggubalan akta dan dasar awam yang mesra alam.
2.4 Demokrasi dan Konsep Kebebasan
Demokrasi juga dilihat umum sebagai satu alat yang menyanjung tinggi konsep kebebasan seperti kebebasan untuk bersuara (freedom of speech), kebebasan untuk berhimpun dan berpersatuan (freedom of association) serta kebebasan menunjukkan perasaan (freedom of expression). Lebih-lebih lagi, kebebasan ini dijamin dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR). Keterbukaan ruang demokrasi ini ialah satu peluang yang harus digunakan oleh pejuang-pejuang alam sekitar dalam menyuarakan tentangan pendapat, idea, tuntutan dan desakan terhadap badan perundangan negara supaya merangka undang-undang dan akta untuk memelihara alam sekitar. Tambahan pula, gerakan ini juga boleh memberi tekanan dan desakan agar pihak berkuasa mengambil langkah yang proaktif dan tersusun terhadap apa sahaja aktiviti-aktiviti yang dilihat sebagai pengancam keseimbangan ekosistem dan manusia sejagat.
Jadi, setelah mentakrifkan kata demokrasi ini, maka jelaslah bahawa demokrasi sebenarnya menyediakan ruang dan peluang kepada para pendokong pendekatan environmentalisme agar dapat menggerakkan isu-isu yang bersangkutan dengannya dalam sesebuah masyarakat seterusnya menjadi perhatian kerajaan kerana ia telah menjadi isu dan tumpuan umum. Namun, segala hasrat pembelaan alam sekitar yang ingin dizahirkan melalui ruang demokrasi ini haruslah melalui saluran yang betul dan sah di sisi undang-undang dan perlembagaan sesebuah negara.
3.0 ERTI DAN KONSEP PENDEKATAN ENVIRONMENTALISME
3.1 Pengertian Kata Environmentalisme
Berdasarkan kamus politik, environmentalisme bolehlah ditakrifkan sebagai kepercayaan dan keprihatinan kepada kepentingan dan pengaruh alam sekitar dalam sesebuah komuniti masyarakat.
Berpandukan takrif yang dibincangkan dalam buku bertajuk Environmentalisme Unbound: Exploring New Pathways for Changes oleh Robert Gottlieb, terdapat dua takrif kepada environmentalisme telah diketengahkan iaitu:
“Environmentalism today can be characterized as a set of skilled organizational actors, fundraising apparatuses, effective though often outgunned lobbyists, and highly motivated, even passionate groups of individuals seeking to save some environmental amenity or overcome some environmentally destructive practice or action.” (Environmentalism Unbound, 2001, hlm. 3.)
“Environmentalism can also be considered a collection of groups that operate in a largely reactive and ad hoc basis, with only narrow focus for their actions and identifiable goals.” (Environmentalism Unbound, 2001, hlm. 3.)
Berpandukan kedua-dua pengertian ini, bolehlah diketahui bahawa yang pertama, environmentalisme ini dicirikan sebagai organisasi yang berkepakaran, alat untuk menjana tabungan, pelobi dan berfokus untuk menyelamatkan alam atau menangani amalan ataupun tindakan yang merosakkan alam sekitar. Kedua, environmentalisme boleh dikira sebagai sekumpulan badan-badan yang bekerjasama sebagai satu kelompok yang besar hanya pada ketika adanya isu berbangkit. Tumpuan isu mereka sempit untuk ke arah tindakan dan matlamat yang cuba diperjuangkan.
3.2 Konsep Pendekatan Environmentalisme sebagai Gerakan Politik Baharu
Oleh itu, environmentalisme secara umumnya dikenali sebagai satu pendekatan dan gerakan politik baharu yang bertujuan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar serta kepenggunaan sumber alam semula jadi. Hal ini tercetus hasil daripada kegusaran dan kesedaran rakyat bahawa bumi yang selama ini menjadi tempat tinggal mereka semakin dicemari dan dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertangungjawab.
Keinginan manusia untuk memperjuangkan nasib alam sekitar adalah kerana mereka sendiri mepunyai kepentingan terhadap alam sekitar. Mereka pastinya akan terancam contohnya dari segi kesihatan dan keselesaan akibat daripada kemusnahan alam dan sumber asli. Kemusnahan alam ini juga akan merugikan sumber ekonomi dan pendapatan mereka.
Akhirnya, kumpulan yang memperjuangkan alam sekitar ini akan menggunakan apa sahaja cara yang perlu seperti peluang-peluang yang terdapat dalam sistem demokrasi, melobi, saluran pendidikan dan kegiatan aktivisme untuk mengubah dan mengadakan dasar yang membela nasib alam sekitar dan menjamin pembangunan sosio-ekonomi yang adil dan sejahtera.
4.0 FAKTOR-FAKTOR KEWUJUDAN GERAKAN ENVIRONMENTALISME.
4.1 Cetusan Gerakan Environmentalisme
Cetusan gerakan environmentalisme ini tidak mempunyai faktor tunggal dan jelas seperti adanya gemblengan idea, revolusi rakyat mahupun dipelopori mana-mana tokoh yang berpengaruh. Ia hanya wujud apabila terdapatnya sesuatu isu yang memberi kesan besar terhadap manusia dan alam sekitar seperti pemanasan global yang kian meruncing, perubahan iklim yang ketara dan bencana alam yang membinasakan harta benda. Oleh itu, perjuangan environmentalis bolehlah dikatakan bermusim atau wujudnya pola tenggelam timbul. Ia terbina sedikit demi sedikit. Terdapat beberapa faktor yang mengakibatkan kesedaran masyarakat muncul lalu merealisasikan gerakan politik hijau.
4.1.1 Pengaruh Revolusi Perindustrian di Eropah
Pertama, pencemaran dan kemusnahan alam sekitar semakin menjadi-jadi sejak tercetusnya Revolusi Perindustrian di Eropah pada abad ke-19. Pelepasan gas-gas beracun dari kilang-kilang dan pembuangan sisa-sisa industri yang mengandungi bahan kimia dan toksik telah mengakibatkan masalah seperti pemanasan global, pencairan ais di kawasan kutub, kenaikan paras air laut, kesan rumah hijau, pengurangan kualiti sumber air dan kemunculan penyakit-penyakit baharu seperti radang pada mata dan kulit. Hal ini telah menimbulkan isu alam sekitar dalam jangka masa yang panjang lalu menerbitkan badan-badan bukan kerajaan dan kumpulan-kumpulan sukarela yang sentiasa peka terhadap alam sekitarnya.
4.1.2 Pengaruh Peperangan dan Konflik di Dunia
Kedua, peperangan dan penggunaan bom atom seperti di Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua telah memberi kesan buruk kepada alam sekitar seterusnya menjadi salah satu faktor wujudnya pendekatan yang memperjuangkan alam sekitar. Hal ini kerana kesan radiasi bahan radioaktif yang berpanjangan daripada penggunaan senjata nuklear terhadap manusia dan alam sekitar sangat berbahaya. Contohnya, terhadap proses tumbesaran kanak-kanak.
4.1.3 Pengaruh Pembangunan Terhadap Ekosistem
Ketiga, kegiatan pembangunan seperti pembinaan tapak perindustrian, petempatan dan pusat ekonomi yang tidak terkawal juga telah menyebabkan kepupusan pelbagai jenis flora dan fauna. Kepentingan segala macam jenis flora dan fauna adalah untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem. Oleh itu, kemusnahan habitat haiwan dan tumbuhan telah mengakibatkan bumi ini semakin terdedah kepada ketidakseimbangan ekosistem lalu memberi kesan sampingan kepada kehidupan manusia keseluruhannya.
4.1.4 Pengaruh Aktiviti Ekonomi
Keempat, kerakusan manusia mengaut segala macam sumber alam untuk kepentingan ekonomi mereka telah menyebabkan pembaziran sumber yang perlu dijimatkan penggunaanya seperti gas-gas asli. Tambahan pula, haiwan-haiwan dilindungi juga telah diburu tanpa memikirkan kesannya terhadap keseimbangan ekosistem. Hal ini juga merisaukan banyak pihak seperti aktivis alam sekitar kerana kepentingan haiwan-haiwan yang hampir pupus untuk tatapan generasi akan datang.
4.1.5 Pengaruh Kaedah Pengurusan Bahan Buangan
Kelima, kehadiran gerakan environmentalisme ini juga berpunca daripada pengurusan bahan buangan iaitu sisa-sisa industri dan sampah-sarap yang tidak terkawal dan cekap. Kegagalan sistem pengurusan ini telah mewujudkan berbagai-bagai ancaman kepupusan hidupan terutamanya hidupan laut akibat tumpahan minyak di samping pembaziran sumber alam serta penularan wabak dan penyakit berjangkit.
4.1.6 Pengaruh Undang-undang dan Dasar Awam
Keenam, tiadanya undang-undang dan dasar awam yang mengawal aktiviti manusia turut menyumbang ke arah pencemaran alam. Suatu akta dan dasar yang digubal haruslah bersifat mesra alam dan mendidik masyarakat untuk mempunyai keazaman untuk menjaga persekitaran mereka. Ketiadaan peruntukan undang-undang yang mengawal aktiviti-aktiviti pembangunan telah menyebabkan segala keserakahan manusia terhadap alam telah dihalalkan di sisi undang-undang.
4.1.7 Pengaruh Sistem Demokrasi
Terakhir, demokrasi itu sendiri juga memungkinkan pencemaran dan kerosakan alam semulajadi. Demokrasi yang subur menjamin kemakmuran ekonomi dan permintaan yang tinggi terhadap sumber dan keperluan. Oleh itu, ia akan menggerakkan pengusaha-pengusaha dan pemodal-pemodal untuk mengaut keuntungan dengan tidak memikirkan kesannya terhadap alam semulajadi. Apatah lagi, dalam era globalisasi ini pengaruh sistem ekonomi kapitalis yang hanya menumpukan usaha untuk mengumpul seberapa banyak modal untuk keuntungan masa hadapan begitu mengesankan masyarakat dunia. Sistem ekonomi kapitalis yang mendominasi ini menggalakkan persaingan antara peniaga-peniaga lalu menyebabkan perebutan sumber alam yang tidak terkawal. Situasi ini telah mengakibatkan soal-soal kebajikan dan nilai-nilai alam semulajadi tidak dititik beratkan oleh mereka yang dikuasai ketamakan.
4.2 Perkaitan Faktor-faktor Environmentalisme dan Ruang dalam Demokrasi
Kesemua faktor tersebut sebenarnya akan mengancam kehidupan manusia dari sudut kesihatan, keselesaan tempat tinggal, kemudahan untuk mendapat dan menggunakan sumber tenaga. Kewujudan naluri manusia yang takutkan kerugian (fear of loss) dan penafian haknya sebagai manusia untuk hidup selesa telah mengakibatkan mereka untuk bangkit memperjuangkan nasib alam sekitar dalam pendekatan environmentalisme. Cara untuk mereka menyuarakan pendapat dan idea perjuangan ini ialah melalui ruang demokrasi yang terbuka luas. Ruang demokrasi inilah yang akan menjadi alat terbaik untuk mereka mempengaruhi sebarang undang-undang dan dasar awam sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab menggubal segala macam dasar melalui badan perundangan iaitu institusi parlimen.
5.0 DEMOKRASI: PENGISIANNYA DALAM PENDEKATAN ENVIRONMENTALISME
Peluang dan ruang dalam demokrasi merupakan jalan yang terbaik untuk menyuarakan dan mengimplementasikan environmentalisme. Jadi, terdapat pelbagai saluran yang boleh diguna pakai oleh gerakan ini untuk memastikan idea dan pendekatan ini relevan untuk semua pihak.
5.1 Penubuhan Parti Politik dan Penyertaan Pilihan Raya.
Pertama, penubuhan parti politik yang berorientasikan environmentalisme dan penyertaan dalam pilihan raya ialah usaha terbaik untuk meraih keberkesanan dalam pendekatan environmentalisme. Dalam sesebuah negara demokrasi, terdapat berbagai-bagai parti politik yang mewakili berbagai-bagai kepentingan. Salah satu cara untuk gerakan environmentalisme ini mengubah polisi yang bersangkutan dengan kepentingan memelihara alam sekitar ialah dengan berpartisipasi secara aktif dalam arena politik serta menyertai pilihan raya. Kejayaan menempatkan wakil dalam parlimen mampu memberi impak yang berkesan dalam memperjuangkan pendekatan environmentalisme terutamanya dalam proses penggubalan undang-undang dan perangkaan polisi dan dasar awam yang lebih ketat.Contohnya, di Britain (1970), calon pertama yang secara jelas bertanding atas tiket gerakan yang memperjuangkan alam sekitar dalam pilihan raya kecil peringkat parlimen ialah John Papworth. Apatah lagi, kebangkitan semangat cintakan alam sekitar pada akhir 1960-an dan awal 1970-an, bersama dengan pewartaan laporan bertajuk Limits to Growth dan Blueprint for Survival pada tahun 1972 (pembangunan tak terkawal akan menjerumuskan manusia ke dalam krisis) telah menjadi pencetus kepada penubuhan parti politik berorientasikan kepentingan alam sekitar di Britain, Perancis, New Zealand dan Australia. Selain itu, ahli biologi yang berpusat di Boston, Profesor Barry Commoner telah bertanding calon kerusi presiden semasa 1980-an, Dumont juga berpartisipasi dalam pilihan raya di Perancis (1974) dan Ahli ekologi juga telah melancarkan UK Ecology Party pada tahun 1970-an. Bukti-bukti ini menunjukkan secara jelas bahawa sistem demokrasi telah digunakan sebaik-baiknya untuk pendekatan environmentalisme.
5.2 Pertubuhan dan Persatuan (Masyarakat Sivil/Civil Society).
Kedua, kewujudan persatuan dan pertubuhan iaitu ‘civil society’ atau masyarakat sivil menjadi bukti bahawa keperluan demokrasi adalah saling memerlukan dalam pendekatan environmentalisme. Perjuangan alam sekitar mempunyai beberapa skop berbeza. Setiap perjuangan mempunyai perbezaan daripada segi objektifnya. Terdapat aktivis-aktivis yang menyuarakan tentangan terhadap pembangunan yang tidak terkawal. Perjuangan ini lebih bersifat pencegahan (preventive measure). Ada juga yang memperjuangkan kaedah-kaedah menangani pembaziran dan penyalahgunaan sumber alam seperti syor konsep “3R”, Reuse, Reduce & Recycle. Pendekatan ini pula lebih berupa cadangan jalan penyelesaian (proposer). Kesan daripada kaedah dan pendekatan yang berlainan ini ialah wujudnya beberapa kumpulan yang memiliki kepentingan berbeza. Oleh itu, wujudlah badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan pergerakan yang mewakili idea masing-masing atas semangat bahawa amalan demokrasi menggalakkan kebebasan untuk berpersatuan seterusnya menyuarakan tentangan dan idea masing-masing. Jika dilihat melalui aspek pluralisme, kewujudan masyarakat sivil amat berpengaruh dalam menentukan undang-undang dan dasar yang terbaik untuk sesebuah masyarakat. Dalam contoh kes di Tucson, Amerika Syarikat, kewujudan masyarakat sivil telah banyak membantu ke arah pewujudan sebuah petempatan yang lebih bersifat mesra alam. Tucson (Amerika Syarikat) ialah sebuah petempatan yang terletak 63 batu dari sempadan negara Mexico. Kawasan ini dikelilingi bukit-bukau dan merupakan kawasan gurun sederhana. Masalah bekalan air merupakan isu utama di kawasan ini. Akta seperti Groundwater Management Act (1980) Water Consumer Protection Act (1995) digubal untuk mengawal penggunaan sumber air. Walaubagaimanapun, penggunaan berlebihan ke atas sumber air yang terhad menjadi masalah besar kepada pembangunan Tucson yang pesat di samping pembangunan tak terkawal yang mengancam kawasan terbuka, kualiti udara dan habitat haiwan liar. Hal ini menimbulkan keperluan untuk memelihara ekosistem kawasan gurun daripada pembangunan. Muncul idea untuk mewujudkan kawasan yang menggunakan janaan kuasa solar yang dikenali sebagai Tucson Solar Village. Usaha ini mendapat bantuan dan sokongan daripada Pima County, sebuah syarikat yang bekerjasama dengan Metropolitan Energy Commission (MEC) iaitu sebuah suruhanjaya sukarela. Ia bertanggungjawab memberi pendidikan kepada orang awam, menjalankan analisis teknikal, menyemak perundangan berkaitan pengurusan tenaga dan menaja pelbagai aktiviti komuniti dan projek. Hasil daripada sokongan dan usaha suruhanjaya ini, akhirnya Tucson Sollar Village telah menjadi realiti dengan menjadi sebuah kawasan bandar baharu dikenali sebagai Civano. Kawasan petempatan yang menggunakan tenaga solar ini terbukti mempunyai ciri sebuah petempatan yang mesra alam dan ia wujud hasil kekuatan badan-badan sukarela.
5.3 Kerjasama dan Rundingan dengan Kerajaan.
Ketiga, demokrasi menggalakkan perbincangan dan rundingan agar satu kata sepakat atau jalan penyelesaian dapat dicapai. Kaedah ini merupakan satu tindakan susulan setelah sesebuah persatuan dan pertubuhan didaftarkan menjadi pergerakan yang sah. Suara ramai melalui sesebuah persatuan yang berpengaruh ini akan lebih mendapat perhatian pihak kerajaan dalam menentukan sesebuah dasar awam dan proses meminda sesuatu akta atau polisi. Dalam hal ini, pihak kerajaan sendiri mestilah mempunyai ketelusan dalam menggubal sesebuah dasar supaya ia tidak mengabaikan kepentingan ramai di samping tanggungjawab untuk memastikan dasar itu bersifat mesra alam. Contohnya, Kerajaan China membentuk undang-undang pertama yang bertujuan untuk mengawal pencemaran udara, Air Pollution Prevention and Control Law pada 1987 sesudah mendapat tekanan daripada rakyat yang sedar akan bahaya pencemaran udara, hujan asid dan perubahan iklim. Selain itu, di India (1980), terdapat kumpulan nelayan yang menubuhkan persatuan di Kerala, Kerala Swatantra Matsya Thozilali Federation (KSMTF). Kumpulan ini bergerak untuk membela nasib nelayan daripada ketidakadilan yang berlaku atas aktiviti perikanan yang tidak terkawal serta menjadi kumpulan pendesak kepada kerajaan supaya membela nasib mereka. Antara isu yang timbul ialah aktiviti memukat yang dijalankan semasa musim tengkujuh yang mengakibatkan benih baharu tidak dapat membiak, isu saiz pukat dan kawasan yang dihadkan untuk menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut. Atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh kumpulan ini seperti aktiviti melobi, wakil daripada kumpulan ini telah dijemput dalam perbincangan mengenai perundangan perikanan. Kerala Marine Fisheries Regulation Act merupakan akta yang dibentuk hasil suara daripada kempulan nelayan ini.
5.4 Protes dan Demonstrasi
Keempat, suara rakyat juga dibenarkan untuk dilaungkan melalui tindakan protes dan demonstrasi. Ia merupakan jalan penyelesaian terakhir dalam usaha meraih perhatian daripada kerajaan agar membentuk atau mengubah sesuatu dasar di samping untuk menggerakkan kerajaan agar menjalankan usaha menyelamatkan alam sekitar dan penggunaan sumber secara bijak. Walaubagaimanapun, ini merupakan langkah terakhir yang boleh diusahakan oleh persatuan dan pertubuhan setelah berlaku banyak perbincangan dan rundingan dengan pihak berkuasa tidak mendapat maklum balas. Contohnya, di Wilayah Fujian, China. Penduduk wilayah itu telah menyekat jalan raya sebagai tanda protes terhadap kebimbangan mereka kepada isu kandungan plumbum yang tinggi dalam darah kanak-kanak wilayah itu. Ia didapati berpunca daripada aktiviti pengilang di Kilang Bateri Huaqiang. Di Turki pula, pada Ogos 2009, Animal Rights Federation atau HAYTAP melancarkan protes terhadap penafian hak haiwan sarkas. Hal ini adalah kerana haiwan-haiwan ini dinafikan hak untuk hidup seperti haiwan-haiwan lain serta perbuatan ini dianggap tidak berperikemanusiaan. Badan bukan kerajaan di Turki telah meyuarakan hal ini kepada Parlimen agar menetapkan undang-undang yang membela nasib haiwan-haiwan ini.
5.5 Pendidikan, Kempen dan Aktiviti Kesenian
Kelima, demokrasi sebagai satu sistem yang menjunjung tinggi konsep kebebasan bersuara mestilah menggerakkan usaha mendidik masyarakat dengan kepentingan memelihara dan memulihara alam serta mengusahakan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat. Selain itu, ruang demokrasi juga mestilah diraikan melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan (freedom of expression) seperti seni teater, puisi dan seni tampak.
Oleh itu, amatlah perlu bagi sesebuah negara demokrasi untuk mempunyai sistem politik yang telus dan terbuka kepada rakyat. Hal ini supaya sebarang pendapat dan idea dapat diketengahkan serta mendidik masyarakat untuk berani menyuarakan tentangan terhadap sesuatu isu dan mengesyorkan idea untuk satu perubahan nasib alam sekitar yang kian tercemar. Selain daripada untuk menjaga alam sekitar, pendekatan environmentalisme juga penting untuk menjamin keadilan sosial dan kesamarataan pembahagian sumber ekonomi. Jadi, terbuktilah bahawa demokrasi mempunyai keupayaan untuk menjadi alat terbaik pendekatan environmentalisme.
6.0 RUMUSAN
Kesimpulannya, keperluan demokrasi terbukti sebagai alat terbaik untuk kita memperjuangkan pendekatan environmentalisme dan ia adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Hal ini kerana ruang demokrasi boleh dijadikan wahana untuk gerakan politik hijau menyuarakan isu-isu dalam environmentalisme seterusnya mempengaruhi kerajaan dalam penggubalan undang-undang dan dasar awam dan dalam pada masa yang sama, demokrasi yang dilihat boleh menyelesaikan masalah alam sekitar juga sebenarnya boleh mengakibatkan masalah kepada alam sekitar. Hal ini terbukti apabila demokrasi yang subur memakmurkan ekonomi sesebuah negara, kemudiannya ia membawa kepada permintaan yang tinggi terhadap pasaran. Kerakusan manusia mengaut sumber alam telah mengakibatkan mereka terlepas pandang tanggungjawab terhadap alam sekitar akhirnya ia mengancam mereka sendiri. Oleh itu, kerajaan sebagai satu badan yang berkuasa dalam penggubalan, pemindaan dan pemansuhan undang-undang dan dasar awam haruslah membuka peluang kepada gerakan politik hijau untuk menyuarakan pendapat, tentangan dan idea yang membina untuk kesejahteraan alam sekitar dan manusia sekaliannya. Masyarakat pula mestilah melengkapkan diri dengan asas-asas demokrasi dan berpengetahuan dalam ilmu yang mempunyai hubung kait dengan kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar. Akhirnya, ketelusan dan keterbukaan sistem demokrasi yang digerakkan oleh kerajaan dalam menentukan dasar yang mesra alam dan memelihara sumber secara bijak serta keadaan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan cintakan alam sekitar pastinya akan menjanjikan bumi yang lebih selamat seterusnya melahirkan masyarakat yang hidup bahagia.
9 retorik berapi-api:
ok siyes wa xbacer abes!!!=p
hutan rebah mengapa ini semua terjadi?
ada masa baca.
satu sebabnya, kerana ketamakan manusia yang pentingkan keuntungan sehingga lupa tanggungjawab terhadap alam.
sebabnya, kroni curi balak
panjang giler!penat!!!
panjang la bai.. kene cari masa nk baca ni..
terpulang nak baca atau tidak sebab yang aku wajibkan baca tulisan ni pensyarah sorg je.
ni asignment.
=]
ahaha, patot la.. by the way, good effort bro.. sure pensyarah sayang ko ni.
agak2la palo esei teori ko ltak cnh haha.. sape nk bace politik ijau ko tuh..
alah ok la ni..
tak payah pos ntuk seminggu,,pos yg ni je org da termuntah nak baca.
haha
=]
Catat Ulasan