17 Januari 2010

betul atau salah?

aku duduk-duduk sahaja, mulut pun senyap-senyap sahaja, yang bising, gigih berkata-kata hanya perempuan di depan ini. setiap perkataan yang keluar satu pun tiada yang bermakna. semuanya bersatu dengan promosi seorang mak cik. "goreng pisang! goreng pisang!"

antara pisang goreng dan goreng pisang, pisang goreng ialah kata nama yang tepat. goreng pisang merujuk kepada perbuatan menggoreng pisang.

contohnya,

ibu sedang menggoreng pisang. hasilnya pada petang itu kami sekeluarga makan pisang goreng sambil menonton video Lady Gaga.

aku pulang sahaja-sahaja, perasaan pun biasa-biasa sahaja. yang gigih merebut tempat duduk petang itu seorang mak cik dengan beg tertulis tabung haji malaysia dalam tulisan jawi. kalau berpandukan perkara-perkara larangan di dalam komuter semuanya tunduk patuh kepada peraturan. cuma arahan nya sahaja pada petang itu tidak patuh pada hukum bahasa.

barang-barang merbahaya. yang betul nya berbahaya. merbahaya lahir daripada perkataan marabahaya.

aku memandang dengan pandangan biasa-biasa sahaja. fikiran pun tenang biasa-biasa juga. yang gigih malam itu penceramah yang berpidato. lagak macam lah pak cik-pak cik di kampung yang pergi dengar ceramah ditemani sebungkus kacang putih tak pernah baca malaysiakini.com. "kita berada dalam suasana politik pasca pilihan raya ke-12, politik kita hari ini ialah politik baru".

baru hanya digunakan untuk ayat seperti ini, "ahli politik itu baru sahaja mati dan sah akan ke neraka" dan "baru-baru ini ahli politik itu terkantoi makan tak bayar". kata sifat yang betul ialah baharu. contohnya, "harapan baharu mahasiswa". malu kalau buat slogan tetapi salah penggunaan bahasa. universiti kebangsaan pula tu.

0 retorik berapi-api: